Pekerja Meta di SG antara 11,000 diberhentikan di seluruh dunia, cari peluang kerja di LinkedIn

Pekerja Meta di SG antara 11,000 diberhentikan di seluruh dunia, cari peluang kerja di LinkedIn

SINGAPURA - Langkah gergasi media sosial Meta memberhentikan pekerjanya menjejas 11,000 di peringkat antarabangsa, atau kira-kira 13 peratus daripada 87,000 tenaga kerja global firma induk Facebook itu.

Pekerja di Singapura turut terjejas, merangkumi pelbagai jabatan dari pemasaran hingga kejuruteraan.

Sebilangan daripada mereka berkongsi pengalaman dimaklumkan tentang berita tersebut di platform rangkaian profesional LinkedIn.

Ia merupakan salah satu pemberhentian kerja terbesar dalam sektor teknologi tahun ini dan kali pertama dalam sejarah Meta sejak 18 tahun lalu, syarikat itu mengurangkan jumlah pekerjanya dengan drastik.

Langkah itu susulan ribuan pekerja yang diberhentikan di syarikat teknologi besar lain seperti Twitter yang dimiliki Elon Musk dan Microsoft Corp.

Menurut laman web yang menjejaki pemberhentian kerja, layoffs.fyi, jumlah pekerja dibuang dalam sektor teknologi pada tahun 2022 menyumbang lebih daripada separuh pemberhentian sejak COVID-19.

Ramai bimbang gelembung teknologi telah pecah, kata pakar penyelidikan dalam teknologi, kesejahteraan dan tingkah laku manusia kepada Mediacorp pada Jumaat (11 Nov).

"Tempoh pertumbuhan pesat dalam teknologi nampaknya sudah berakhir, namun belum pasti lagi bagaimana sektor teknologi akan menyesuaikan diri melalui landskap global yang berubah-ubah," kata Cik Jean Liu, penolong profesor psikologi di Kolej Yale-NUS.

Penolong Prof Liu juga berkongsi beberapa dokumen awam dalam catatan LinkedIn pada Khamis yang mengandungi butiran pekerja di Singapura yang terjejas oleh pemberhentian kerja dalam sektor teknologi pada 2022 dari Meta hingga ke platform pemprosesan pembayaran Stripe.

Dalam catatan yang sama, beliau berkongsi satu lagi dokumen mengenai pekerjaan dalam teknologi yang ditawarkan di rantau Asia-Pasifik.

Satu lagi dokumen excel yang muncul online sejak Meta memulakan proses pemberhentiannya mengandungi butiran pekerja Meta yang terjejas di seluruh dunia yang mencari peranan baru. Setakat 6.15 petang Jumaat, lebih 1,300 bekas pekerja tercatat dalam senarai tersebut.

PEKERJA META DI S'PURA

Meskipun diberhentikan, ramai pekerja Meta di Singapura tetap melahirkan penghargaan kerana diberi peluang untuk bekerja di syarikat itu.

"Hari ini saya dibuang kerja oleh Meta sebagai sebahagian daripada pemberhentian beramai-ramai. Ini adalah kali pertama dalam kerjaya saya dan saya amat terkesan," tulis Encik Alex Fenby, ketua perkongsian berita bagi Asia Tenggara.

Encik Fenby bekerja di Meta selama empat tahun, dan berkata beliau telah mengusahakan "banyak inisiatif yang memberi impak" yang beliau harapkan "menyumbang secara positif kepada ekosistem berita dan media APAC (dan global). Majikan yang bakal mengambil pekerja Meta yang diberhentikan amat "beruntung", tambahnya.

Seorang lagi pekerja, Roy Tan, yang merupakan ketua politik dan bahagian mendampingi pemerintah berkongsi di LinkedIn tiga pengajaran yang beliau pelajari sepanjang bekerja di Meta sejak enam tahun lalu: Jadilah teman kepada rakan sekerja anda, dengar satu sama lain dan tunjukkan belas ihsan.

Jikun Li pula menulis bahawa beliau meluangkan masa untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah sambil memproses berita "menyedihkan" itu.

Dalam catatannya di LinkedIn Encik Varun Chawla, yang bertanggungjawab bagi huraian di Asia Tenggara berkata seluruh pasukannya di Meta terjejas oleh pemberhentian tersebut.

Beliau berkongsi di LinkedIn, pengalamannya selama 15 tahun dalam pelbagai bidang dari pemasaran digital, perkongsian perusahaan dan pembangunan perniagaan, Menurutnya lagi beliau mencari peluang pekerjaan di Singapura kerana keluarganya sudah "berpindah ke sini untuk memulakan kehidupan baru".

Apabila dihubungi Mediacorp, Meta enggan mengulas jumlah pekerja yang terjejas di Singapura atau bantuan yang akan diberikan kepada mereka. (*)

Berita Lainnya

Index